Friday, August 23, 2013

Kisah Seorang bekas penagih Dadah

Aku Q, seorang wanita Melayu berusia 28 tahun. Sejak dari kecil, aku dibekalkan dengan pengetahuan dan ilmu agama yang cukup oleh ibu, sehinggalah aku dapat menjejakkan kaki ke universiti dan bergelar graduan. Aku menyangkakan dengan ilmu yang dibekalkan, aku akan dapat  menjadi seorang yang berjaya dalam kehidupan tapi malangnya, aku kecundang kepada nafsu dan bisikan syaitan. Aku jadi lalai dan lupa tujuan dan matlamat hidup aku yang sebenarnya.

Kehancuran hidup aku bermula apabila aku mula menghisap rokok bersama kawan-kawan semasa di zaman persekolahan. Setelah tamat persekolahan, aku mula mengenali apa itu ganja dan arak; pada mulanya hanyalah untuk mencari keseronokan bersama kawan-kawan apabila pergi ke kelab malam. Tanpa disedari, aku mula mengambil pill ecstasy di kelab, kononnya mengikut trend zaman sekarang. Pada mulanya, aku teragak-agak untuk mengambil pill ini, kerana sejak dari kecil aku memandang hina pada mereka yang menagih dadah - bagaikan bangkai bernyawa, menjadi hamba kepada ketagihan dan nafsu mereka. Tapi dengan sedikit pujukan, aku diyakinkan bahawa pill ini tidak membuatkan ketagihan dan hanyalah untuk memberi mood untuk berparty (enjoy) sahaja. Sejak dari itu,  aku mengambil pill ecstasy setiap kali keluar bersuka ria bersama kawan-kawan di kelab-kelab malam. Walaupun begitu, semua benda haram yang aku ambil pada waktu itu tidak memberi aku sebarang ketagihan. Aku rasa amat senang dengan kehidupan aku pada waktu itu, kononnya kerana aku berupaya mengawal pengambilan dadah yang aku suka, boleh memilih masa, keadaan dan cara untuk bergembira bersama kawan-kawan.

Namun ia tidak kekal lama apabila pihak berkuasa mula giat menjalankan operasi membanteras pengambilan dadah di kelab-kelab malam. Mereka melakukan ujian air kencing dan sesiapa yang memberikan ujian yang positive, akan dikenakan tindakan. Aku dan rakan-rakan menjadi takut untuk ke kelab malam. Keinginan untuk berhibur membuatkan kami mencari jalan baru untuk bergembira dengan mengadakan "house party". "House party" merupakan party yang dibuat di rumah, tetapi mempunya ciri-ciri sama seperti di kelab malam - muzik yang kuat, minuman beralkohol, pill ecstasy dan lain-lain lagi. Malah kegembiraan yang didapati kadangkala lebih dari dulu, kerana kami tidak lagi perlu mengikuti peraturan seperti yang ada di kelab-kelab malam. Beberapa kali, house party kami berterusan selama berhari-hari, siang atau malam dah tak dihiraukan lagi.

       Di "house party" inilah aku mula mengenali dadah yang dipanggil "ice", yang juga dikenali sebagai syabu, atau meth untuk singkatan kepada nama scientificnya, methamphetamine. Dengan iman dan pengetahuan yang cetek, aku mencuba dadah ini dengan anggapan ia juga merupakan salah satu dadah yang diambil hanya untuk memberi mood untuk berhibur. Pada mulanya, aku rasa gembira kerana badan menjadi rengan.Tetapi akhirnya membawa padah bagi kehidupanku.


8 tahun yang berlalu dalam hidup aku, selain dari waktu yang dipenuhi dengan menghisap meth ataupun mencari jalan untuk mendapatkan meth, setiap saat dipenuhi dengan kesalan dan perasaan belas kasihan - mengenangkan hidup yang telah disiakan. Jujur aku katakan, satu-satunya masa yang aku rela sepenuhnya untuk mengambil meth adalah pada jangka satu bulan yang pertama sejak pertama kali aku mencubanya. Selepasnya dari saat itu, aku mula hilang kawalan dalam diri aku. Bagaikan satu perperangan, antara hati dan selebihnya. Hati tertanya kenapa aku jadi manusia yang lemah, yang tunduk pada nafsu, yang sakitkan hati ibu, yang tak tahu malu, hati tertanya kenapa aku sia-siakan hidup yang nampak cerah satu masa dulu - sambil tangan aku laju menggoyangkan lighter dan bibir menyedut asap yang keluar dari corong kaca. 8 tahun aku hidup begitu, bagaikan hidup dalam penjara. Bagaikan diri dipaksa untuk membuat kerja hina. Setiap saat aku doa agar Tuhan ketemukan aku jalan keluar. Hampir semua sudah putus asa dengan ketegaran aku, hampir semua membenci aku. Tapi aku tak pernah tuding jari salahkan mereka, aku tahu aku banyak sakiti hati dan perasaan orang yang sayangi aku, dengan semua helah, segala penipuan.. Bukan tiada yang cuba membantu, tapi.. tiada satu pun yang mampu tarik aku..

Sehingga satu hari, seorang kawan perempuan aku, Z pulang dari luar negara; seorang yang berkerjaya dan berpelajaran. Dia tawarkan aku tinggal di rumahnya. Pada mulanya Z tidak mengetahui tentang aku dan meth, dia terima segala apa yang aku tipu tanpa rasa curiga. Sampai aku jadi kasihan, sebab dia banyak tolong aku. Sampai mulut aku sendiri buka pekung di dada. Z pada mulanya cuba melarang aku dari pergi ke tempat aku biasa mengambil dose seharian aku. Sehingga pergaduhan terjadi, kadangkala fizikal; aku memukul, dan dia, cuba menahan dari dipukul. Paling teruk, aku cakar tangan dia sampai berdarah, ada lima garisan panjang jadi petanda sampai bila-bila. Tidak sikit pun terniat di hati aku untuk cederakan sesiapa, dan menyakiti hati sesiapa. Meth telah buatkan aku jadi seorang yang berhati batu, buat aku hancurkan semua yang jadi perantara. Aku jadi seorang yang tiada perasaan. Belas, cinta, gembira, sedih, marah, suka, duka - semua aku tak rasa. Cara mengongkong aku dari keluar rumah cuma bertahan selama 3 hari. Z cuba cara lain. Dia beri aku green-light untuk buat kerja hina itu di rumahnya. Rutin harian, sambil aku menyedut dan menghembus asap mahal dari corong kaca di beranda, Z duduk di ruang tamu, menutup hidung dan mulut dengan tuala sambil memberitahuku lebih mendalam tentang meth. Tentang mereka yang berjaya melepaskan diri dari ketagihan, tentang cara-cara, tentang apa yang telah aku sia-sia, tentang apa yang akan terjadi jika aku terus menjadi hamba - semua tanpa marah, memaksa, atau menghina, tetapi dengan cara yang berbeza, dengan nada yang buat aku terus mendengar. Dia perkenalkan aku kepada beberapa cara untuk berhenti, menawarkan aku sokongan yang penuh.

Apabila diberitahu tentang cara rawatan secara rohaniah yang ditawarkan oleh Ustaz Hanafi, aku rasakan inilah rawatan yang aku perlukan. Hati aku yang selama ini kosong, perlu diisi kembali dengan asas hidup yang telah hilang sejak aku mula merosakkan hidup aku dengan dadah. Aku perlu mencari kembali matlamat hidup, agar aku tahu betapa ruginya jika aku sia-siakan kehidupan di dunia ini.Setelah aku pergi menemui Ustaz Hj Hanafi aku pun mulalah menjalani sesi rawatan dengan meminum air kelapa.Alhamdulillah aku telah memuntahkan segala saki baki  dadah yang berada dalam tubuh badanku.Setelah selesai menjalani rawatan meminum air kelapa itu,Ustaz meneruskan lagi untuk merawat minda dan hatiku.Dan inilah yang telah aku dapat dari bimbingan Ustaz Hanafi. Bimbingan dan curahan ilmunya, dengan lafaz lembut dan  nasihat yang penuh hikmah, membuatkan hati aku senang untuk menerimanya. Tidak perlu dipaksa, aku sendiri yang jadi benci pada dadah. Betapa lamanya hidup aku terbuang, oleh kerana ketagihan aku. Aku menyesal kerana aku tidak mendapat peluang ini lebih awal tetapi, aku bersyukur, kerana Allah S.W.T menemukan aku jalan keluar. Aku bersyukur, aku diketemukan dengan mereka yang ingin membantu dan masih menaruh harapan agar aku berhenti walaupun dengan sikap buruk aku semasa di dalam ketagihan. Aku bersyukur ada yang masih percaya. Aku bersyukur masih ada orang di luar sana yang cuba memahami semasa aku sesat, hina di dalam dunia kecilku. Aku bersyukur masih ada yang ingin mengerti. Aku bersyukur Kau tarikku ke tepi, bila aku hampir-hampir lemas sendiri..
Sekarang ini aku telah bebas sepenuhnya dari pengaruh dadah dan rokok.Sesungguhnya kedua-dua benda ini adalah perosak dan penjahanam hidup sesaorang itu di dunia dan akhirat.Aku akan dan terus memulakan kehidupan baru yang penuh bererti tanpa rokok tanpa dadah serta tanpa lain-lain maksiat.Ya ALLAH  ya Tuhanku...kau terimalah taubatku,kau ampunkanlah dosa-dosaku serta kau tunjukkanlah hambamu ini jalan yang lurus dan pimpinlah hidupku menuju keredhaan dan kasih sayangmu.Selamatkanlah hidup di dunia ini dan selamatkanlah diriku dari azab api neraka mu.Aku berazam untuk menjadi hamba mu yang solehah yang sentiasa berada dalam keredhaan mu ya Rabbi.
Buat Ustaz Hanafi.. aku mengucapkan jutaaan terimakasih kerana sudi menerima diriku ini untuk dirawat serta sudi mendidik dan memimpin diriku dengan penuh lemah- lembut dan kasih sayang,jasamu ustaz tidak akan aku lupakan hingga ke akhir hayat ku.Sesungguhnya tanpa usaha dan kesudian mu Ustaz menerima dan merawat diriku maka aku akan terus hanyut dan binasa dalam dunia dadah yang gelap gelita.Aku bersyukur yang tidak terhingga ke hadrat Ilahi yang telah memakbulkan doa-doa dan usaha-usaha ustaz merawat diriku.

Buat sesiapa yang menghadapi masalah ketagihan dadah dan ingin kembali kepangkal jalan,aku syorkan datanglah bertemu Ustaz Hanafi untuk menjalani rawatan,Insya Allah dia akan berusaha membantu anda.

Sekianlah sebuah coretan kehidupan ku,moga-moga ada manfaatnya buat kalian semua.Wassalam.

Wanita yang telah insaf,
Q K.L 2009
Ambillah ikhtibar dari cerita tersebut dan berfikur dahulu sebelum berbuat sesuatu . Tepuk dada , tanya otak


1 comment: